MALAYSIA 3 UZBEKISTAN 0

Tuan rumah, Malaysia, muncul juara Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Wanita Piala Tuanku Zara selepas menumpaskan Uzbekistan 3-0 dalam perlawanan akhir di Dewan Jubli Merdeka, Kuala Kangsar sebentar tadi.


Namun, kemenangan itu tidak mudah buat anak buah Dhaarma Raj Abdullah itu yang terpaksa bekerja keras sebelum mengatasi lawan dengan tiga jaringan babak kedua.

Nur Aisyah Yaakob menyumbang dua gol manakala satu lagi jaringan dihasilkan oleh Qasidah Halimi.

Seperti dalam pertemuan pusingan awal, Jumaat lalu yang dimenangi Malaysia 2-0, Uzbekistan tidak memberi ruang kepada pasukan negara.

Kawalan ketat benteng Uzbekistan terhadap penjaring utama Malaysia, Nur Afiqah Syahzani Azhar, berkesan untuk menyekat pintu gol mereka daripada dibolosi pada awalnya.

Bagaimanapun, tidak ada apa yang dapat Uzbekistan lakukan untuk menghalang Nur Aisyah meledak gol pertama dan kedua hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-25 dan 30.

Bersemangat dengan jaringan itu, tuan rumah meneruskan asakan dan Qasidah berjaya menyumbat gol ketiga Malaysia melalui gol padang tujuh minit sebelum tamat perlawanan.