Piala Sultan Johor: Nor Saiful tidak mahu anak buah leka

Oleh Bernama 11 Oktober 2019 123
Piala Sultan Johor: Nor Saiful tidak mahu anak buah leka
Skuad hoki remaja negara perlu kekal fokus dan tidak lalai ketika berdepan India dalam aksi pembukaan Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, esok.

Ketua jurulatih skuad negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, berkata dengan reputasi yang dimiliki skuad kendalian B. J. Kariappa itu, sedikit kelalaian yang dilakukan anak buahnya boleh mengundang padah.

Skuad kebangsaan juga harus menunjukkan disiplin yang tinggi, bijak mengawal situasi serta tidak melakukan kesilapan mudah.

"India sebuah pasukan yang kuat dan mereka mendapat pendedahan yang lebih berbanding pasukan kami. Mereka mengadakan beberapa siri jelajah, termasuklah di Eropah.

"Malah, mereka juga diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain yang bersama skuad senior negara itu. Jadi, pemain perlu berhati-hati dan menunjukkan disiplin yang tinggi sepanjang perlawanan,” katanya menerusi kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Menjulang Piala SOJC kali pertama pada 2011, Nor Saiful berkata skuad kendaliannya itu kini tampil dengan wajah baru dan diperkuatkan lagi dengan kumpulan pemain yang membantu negara memenangi pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 di Argentina, termasuk penyerang, Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

Sementara itu, Akhimullah berkata dia optimis pasukannya mempunyai peluang yang besar kerana hampir separuh daripada mereka pernah beraksi bersama yang mana merupakan  antara faktor kekuatan dalam membantu mereka mempamerkan prestasi terbaik.

Muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 22 gol dalam Sukan Olimpik Remaja tahun lalu, dia mempertaruhkan pengalamannya sepanjang beraksi dalam skuad senior bagi saingan SOJC kali ini.

"Berbekalkan pengalaman yang ada, saya yakin mampu membantu kawan-kawan untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap.

“Malah, dalam pasukan kali ini, kita memiliki pemain berkaliber di setiap posisi dan ada pemimpin di bahagian pertahanan, tengah serta menyerang," katanya.

Dalam edisi kali kesembilan ini, skuad negara akan membuka tirai kejohanan menentang naib juara tahun lalu, India, esok dan diikuti perlawanan menentang Australia, Ahad ini.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen