Piala Razak: Terengganu sasar lima terbaik

Oleh Tengku Danish Bahri 17 November 2017 73
Piala Razak: Terengganu sasar lima terbaik
Skuad hoki wanita Terengganu meletakkan sasaran muncul antara lima pasukan terbaik dalam Kejohanan Piala Razak yang bermula esok.

Menurut ketua jurulatih Terengganu, Muhammad Harun Al-Rashid, sasaran itu dilihat realistik sambil menyifatkan kejohanan ini lebih kepada pendedahan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Aksi kompetitif bertaraf kebangsaan ini, katanya, dapat meningkatkan persembahan mereka walaupun mengakui perasaan gementar mungkin menghantui skuad bimbingannya.

Namun, Harun enggan menjadikan ian alasan buat Terengganu mencipta kejutan dengan mempertaruhkan barisan termuda dalam edisi kali ini.

“Piala Razak medan terbaik membuka mata pemain-pemain serta mengutip pengalaman berdepan lawan lebih berpengalaman.

“Sebagai jurulatih, saya mahu mereka beraksi dengan yakin dan jangan takut melakukan kesilapan kerana masih ada masa untuk meningkatkan prestasi,” ujarnya.

Cabaran getir menanti skuad muda Terengganu, dengan juara bertahan, Pahang, menjadi lawan pertama dari Kumpulan A, diikuti tuan rumah, Kuala Lumpur, Indonesia dan Perak.

Sementara itu, Zahratul Farhana Sofea Muhamad Roslan, 15, yang menjadi pemain termuda dalam kem Terengganu, enggan membenarkan fokus terganggu dalam membantu rakan sepasukannya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin itu turut bersedia mengetepikan perasaan gugup serta tekanan beraksi di pentas Piala Razak.

“Saya akan mengambil semangat rakan-sepasukan untuk lebih positif dan ini merupakan proses memperbaiki prestasi.

“Peluang beraksi menentang pemain lawan bertaraf kebangsaan akan digunakan sebaik-baiknya,” tambah pemain pertahanan itu.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen