Kapten skuad hoki Terengganu, Shahrun Nabil Abdullah, menganggap tenaga pemain muda akan membantu pasukan itu meraih kejuaraan Piala Razak buat kali ketiga, tahun ini.

Sebelum ini, impian itu disekat Perak buat dua tahun berturut-turut.

Shahrun Nabil mengakui pasukannya perlu memantapkan persefahaman sesama pemain ekoran tempoh persediaan yang singkat menjelang aksi separuh akhir menentang Johor di Stadium Hoki Nasional, Jumaat ini.

"Kami hanya berlatih selama seminggu, jadi saya harap pasukan saya dapat serasi dengan cepat.

"Saya risau dengan prestasi Terengganu kerana kami baru seminggu bersama.

"Saya harap kami dapat beraksi baik," katanya.

Sementara itu, kapten Melaka, B. Namasivayam, menegaskan Kuala Lumpur akan menjadi lawan paling sukar buat pasukan itu menjelang perlawanan separuh akhir, lusa.

Ia memandangkan lawan itu dibarisi beberapa pemain kebangsaan manakala pasukannya sekadar mempertaruhkan kudrat pemain muda.

"Mereka pasukan yang kuat kerana mereka memiliki pemain yang baik.

"Pemain yang digugurkan daripada skuad kebangsaan juga menyertai mereka.

"Tetapi kami tidak mempunyai sebarang pemain kebangsaan dan hanya mengharapkan pemain tempatan kami sahaja.

"Ia pasti perlawanan yang sukar dan sesiapa yang menyudahkan peluang akan menang," katanya.