Penyerang skuad hoki negara, Shahril Saabah, terlepas aksi Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, selepas bergelut dengan kecederaan paha sejak dua bulan lalu.

Sharil mengalami kecederaan itu sewaktu beraksi dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Muscat, Oman, Oktober lalu.

Menerusi wawancara dalam Nadi@1 kelolaan Suzana Basri, sebentar tadi, Shahril meluahkan kekecewaannya kerana tidak dapat bersama skuad negara ke India, namun masih mendoakan kejayaan buat rakan-rakannya itu dari jauh.

"Saya sudah dapat menerima keadaan itu. Sewaktu mula-mula tercedera dulu, saya hanya mempunyai tempoh dua bulan untuk pulih sebelum ke Piala Dunia.

"Saya sudah menjangkakan akan terlepas Piala Dunia kali ini," katanya yang pernah beraksi dalam Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda.

Mengulas mengenai peluang Malaysia dalam kejohanan tersebut, Shahril optimis sasaran 10 negara terbaik mampu dilaksanakan.

"Dalam tempoh berehat ini, saya kerap menyaksikan latihan mereka dari tepi padang.

"Mereka mempunyai intensiti yang tinggi dalam latihan.

"Kita dapat lihat kelajuan setiap pemain dalam siri aksi persahabatan menentang New Zealand sebelum ini.

"Saya yakin skuad negara berpeluang untuk menduduki kedudukan 10 terbaik dalam Piala Dunia kali ini.

"Saya mendoakan yang terbaik buat rakan-rakan di India dan semoga mereka berjaya mendapatkan tiga mata pertama dalam perlawanan berdepan Belanda, petang ini," tambahnya.