Pakar pukulan sudut penalti negara, Najmi Farizal Jazlan dan Mohd Firdaus Omar, mula tertekan menjelang aksi penentuan tempat ke-9 Piala Dunia Remaja 2016 berdepan New Zealand esok apabila masih gagal menjaringkan gol.

Ini kerana adalah sesuatu yang janggal untuk melihat pukulan sudut penalti negara tidak menjadi.

Malaysia meraih 12 pukulan sudut penalti selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan, namun pakar negara dalam situasi itu gagal menjaringkan gol menerusi tolakan terus.

Situasi itu antara punca utama Malaysia gagal mencapai sasaran ke suku akhir.

"Memang saya tak gembira sebab saya masih gagal menjaringkan sebarang gol.

"Bagi saya secara peribadi, kalau tak dapat menjaringkan gol, saya berasa tak puas.

"Perjuangan kami belum selesai, Insya-Allah dalam perlawanan seterusnya saya akan terus berikan yang terbaik," kata Najmi.

"Jurulatih telah menerapkan strategi terbaik untuk kami. Sebagai pemain, kami hanya perlu fokus untuk menyumbat gol," kata Firdaus pula.

Seorang lagi pakar pukulan sudut penalti negara, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, pula masih belum pulih daripada kecederaan tulang kering apabila kakinya terkena bola ketika tewas di tangan Belanda, Jumaat lalu.

Skuad remaja negara pernah melahirkan pakar pukulan sudut penalti hebat seperti S. Kuhan, Muhammad Razie Abd Rahim, Faizal Saari, Mohd Noor Faeez Ibrahim dan Shahril Saabah.

Jika masalah ini gagal diatasi, Malaysia dijangka berdepan masalah untuk menumbangkan New Zealand, esok.