Penjaga gol skuad pembangunan hoki negara, Muhamad Zaimi Mat Deris, berdepan tugas berat untuk menghalang jentera serangan Belanda dalam aksi sulung Piala Dunia Remaja 2016 malam ini atau mimpi ngeri 2013 akan berulang.

Zaimi akan turun sebagai penjaga gol utama negara buat kali pertama. Ia penghormatan buat penjaga gol kelahiran Terengganu itu, namun realitinya dia berdepan tugas berat menghalang jentera serangan Belanda.

Malaysia akan turun sebagai underdog di Stadium Hoki Major Dhyan Dhand, apatah lagi selepas dibelasah 7-2 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Dunia Remaja 2013.

"Sebenarnya, saya berasa terkejut sebab diberikan tugas berat untuk mempertahankan gol Malaysia. Untuk itu, saya mahu memikul tanggungjawab itu dengan baik," katanya.

Zaimi pernah menyarung jersi Malaysia dalam Piala Sultan Johor bulan lalu, namun lebih kerap memanaskan bangku simpanan.

Seorang lagi penjaga gol negara di Lucknow, India ialah Andrian Andy Albert.

Peluang terbaik skuad kendalian Wallace Tan untuk mengejutkan Belanda adalah menerusi pakar pukulan sudut penalti, Najmi Farizal Jazlan.

"Kami tak pernah bermain bertemu Belanda. Kami juga belum lagi menerima arahan untuk tugasan secara khusus dalam perlawanan nanti,.

"Kami akan melihat semula rakaman perlawanan membabitkan Belanda untuk mengenal pasti kelemahan penjaga gol mereka," kata Najmi.