Jurulatih Skuad Pembangunan Hoki Negara, Wallace Tan, memberikan jaminan bahawa Malaysia tidak akan menjadi pasukan belasahan dalam Piala Dunia Remaja 2016 bermula 8 Disember depan sekalipun hanya mempunyai tempoh kurang seminggu untuk membuat persiapan ke Lucknow, India.

Wallace memanggil semua pemain bawah 21 tahun kebangsaan, termasuk yang baru pulang dari Festival Hoki Antarabangsa Melbourne.

Pengendali itu diselubungi persoalan mampukah dia membentuk persefahaman dan corak permainan terbaik untuk mencabar Kumpulan B, yang turut dibarisi Belanda, Mesir dan Belgium.

Pasukan itu tidak diletakkan harapan yang besar, apatah lagi untuk mengulangi pencapaian berada di tangga keempat ketika di New Delhi India, tiga tahun lalu.

"Lima daripada pemain beraksi di Melbourne dan selebihnya telah berlatih sepanjang tahun. Pemain juga beraksi dalam Kejohanan Piala Sultan Johor.

"Saya berasa pasukan kami boleh beraksi dengan baik," katanya.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), menjemput Malaysia ke Lucknow selepas Pakistan gagal menepati tarikh tutup pendaftaran pasukan.

Kempen kelayakan menerusi Piala Remaja Asia di Kuantan, Pahang tahun lalu menyaksikan hanya empat pasukan terbaik berjaya melayakkan diri.

Malaysia meraih tangga kelima sementara Pakistan muncul naib juara.

"Kami akan sentiasa memperbaiki kelemahan yang ada di dalam pasukan.

"Beraksi dalam Piala Sultan Johor telah memberikan kami banyak pengajaran untuk terus memperbaiki pasukan dan ia banyak membantu kami."