Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, optimis The Malaysian Hockey Tigers mampu mencapai sasaran lapan terbaik walaupun terpaksa mengharungi kumpulan maut dalam Piala Dunia di Bhubaneswar, India, bermula Rabu depan.

Skuad hoki negara akhirnya melakar kemenangan 4-2 ke atas New Zealand dalam perlawanan persahabatan terakhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Mereka akan berlepas ke Bhubaneswar, Ahad ini.

Banyak penambahbaikan direncanakan Oltmans dalam memastikan corak permainan pasukan mampu menyaingi tiga bekas juara dunia, Belanda, Jerman dan Pakistan, dalam Kumpulan D.

Oltmans optimis Malaysia mampu memadam igauan ngeri edisi 2014 selepas menamatkan cabaran di kedudukan ke-12 (kedudukan terakhir) di The Hague, Belanda.

"Apa yang penting adalah kami sentiasa memaparkan peningkatan.

"Kami kini sudah mampu berdepan pasukan yang memiliki kelebihan fizikal seperti New Zealand.

"Ia petanda yang baik menjelang Piala Dunia," katanya.

Peningkatan skuad negara turut diakui ketua jurulatih New Zealand, Darren Smith, yang menyifatkan ketiga-tiga perlawanan yang diharunginya di Kuala Lumpur sebagai sangat berkualiti, terutama melibatkan jentera serangan yang dikepalai Faizal Saari

"Ia persediaan yang baik menjelang Piala Dunia.

"Malaysia memaparkan aksi yang hebat dalam ketiga-tiga perlawanan.

"Saya amat gembira dengan cabaran yang kami hadapi di sini," katanya.