Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, mengekekalkan ketenangan di sebalik kebimbangan Malaysia akan pulang awal daripada Piala Dunia Bhubaneswar 2018 menjelang aksi wajib menang ke atas Pakistan dalam saingan Kumpulan D, Rabu ini.

"Malaysia akan ke pusingan kedua."

Itu keyakinan yang disuarakan Oltmans, sekali gus menangkis kebimbangan peminat yang mendakwa The Malaysian Hockey Tigers akan ditimpa nasib yang sama seperti edisi empat tahun lalu.

Apa yang perlu dilakukan ketika ini ialah mengembalikan kepercayaan barisan pemain selepas dibelasah Belanda 7-0 dalam aksi pembukaan, kelmarin.

"Kami kalah dalam pertempuran, namun belum tewas dalam peperangan, itu situasi semasa.

"Kami tidak mahu tewas peperangan ini dan kami mahu memenanginya.

"Kami perlu bersedia untuk berdepan aksi berikutnya dengan menganalisis video dan mengadakan perbincangan.

"Selepas itu, kekalahan itu hanya tinggal sejarah," katanya.

Malaysia meraih tangga tercorot dalam Piala Dunia 2014.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menetapkan format baru dalam edisi kali ini dengan tiga pasukan terbaik dalam setiap kumpulan akan meneruskan kemaraan sementara pasukan tercorot akan tersingkir.

Rekod pertemuan berpihak kepada Pakistan yang meraih tiga kemenangan tahun ini, sekali gus meningkatkan keyakinan juara dunia empat kali itu.

"Kami sedar rekod lampau tidak memihak kami, namun ia jurang yang amat kecil.

"Saya dapat bayangkan keyakinan tinggi yang dimiliki mereka.

"Namun, kami juga mampu menewaskan mereka dan itu yang akan kami perjuangkan," tambahnya.