Malaysia memastikan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia 2017 serta peluang muncul juara Kumpulan B, selepas mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan Korea Selatan 2-1, sebentar tadi.

Bertemu juara edisi terdahulu, Korea Selatan, di Stadium Hoki Maulana Bhasani, Dhaka, skuad kendalian Stephen Van Huizen turun selepas membenam China 7-1 kelmarin.

Namun, Korea Selatan turut menampilkan aksi yang penuh bersemangat selepas merekodkan kemenangan 7-2 ke atas Oman dalam perlawanan terdahulu.

Dengan hanya dua pasukan teratas kumpulan yang akan layak ke final, Malaysia turun dengan misi mesti menang dan kebuntuan berjaya dipecahkan apabila Faizal Saari memanfaatkan pukulan sudut penalti untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-17.

Malaysia terus mengasak kubu pertahanan Korea dan sekali lagi berjaya meledak gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Azri Hassan.

Korea Selatan merapatkan jurang pada minit ke-26 selepas Lee Seung-hoon berjaya merobek gawang kendalian S. Kumar, bagaimanapun Malaysia berjaya bertahan sehingga penghujung perlawanan untuk meraih kemenangan, sekaligus mara ke separuh akhir.