Penyerang negara negatif COVID-19, MSN beri amaran atlet perlu patuhi SOP

Oleh Muzaffar Musa 12 November 2020 292
Penyerang negara negatif COVID-19, MSN beri amaran atlet perlu patuhi SOP
Skuad hoki negara boleh menarik nafas lega apabila keputusan ujian swab seorang penyerang yang menjadi orang dalam siasatan (PUI) COVID-19 disahkan negatif.

Perkembangan itu cukup melegakan selepas anak buah Arul Selvaraj itu meninggalkan program latihan yang berpusat di Bukit Jalil minggu lalu.

Penyerang itu menjalani ujian swab pada Selasa lalu selepas menyertai program latihan skuad kebangsaan di Pulau Pinang.

Dalam tempoh itu, isterinya dikesan positif COVID-19 dan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Lembah Klang.

Institut Sukan Negara (ISN) segera mengasingkan pemain itu daripada skuad kebangsaan dan mengarahkannya menjalani ujian swab.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata: "Kami telah menerima keputusan ujian tersebut dan Alhamdulillah, hasilnya negatif.

"Bagi pihak ISN, kami mengingatkan atlet, jurulatih dan anggota sokongan pentadbiran yang terlibat dalam latihan berasaskan kuarantin ini untuk terus mengamalkan SOP yang betul dan sentiasa berhati-hati dengan pergerakan mereka dalam kalangan masyarakat," katanya.

Skuad negara sepatutnya melaporkan diri di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini tetapi proses itu terpaksa ditunda buat sementara waktu.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, memberikan amaran buat atlet negara agar mematuhi setiap SOP bagi mengelakkan penularan wabak itu dalam kalangan mereka.

"Apa sahaja pergerakan seperti ke tempat latihan dan sebagainya perlu patuh SOP, kekalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan sebagainya.

"Apabila mereka berada dalam pusat latihan sebagai satu keluarga sukan, mereka sudah dibenarkan untuk mengadakan latihan, jadi kami tidak mahu ada unsur daripada luar yang dibawa masuk secara tidak sengaja.

"Tingkatkan disipilin diri untuk lebih berhati-hati dalam pengendalian diri di luar kawasan Bukit Jalil," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen