Pengerusi Pertandingan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Brian Fernandes, kecewa apabila pasukan kerdil tidak berani menyertai saingan tertinggi Liga Hoki Malaysia (LHM), Liga Perdana, bulan depan hingga menyaksikan hanya enam pasukan mengesahkan penyertaan.

Biarpun senario hoki tempatan sedang rancak menerusi kemaraan The Malaysian Hockey Tigers ke Piala Dunia 2018 secara merit, namun kempen LHM semakin lesu apabila hanya enam pasukan mendaftarkan diri apabila tempoh pendaftarannya tamat tengah hari tadi.

"Enam atau 10 pasukan pun yang bertanding, liga kita masih sengit. Lagipun, pada tahun depan, liga hoki India tidak dianjurkan, pemain-pemain yang bagus akan tiba di sini," ujarnya.

KHM akan mengadakan mesyuarat pengurus pasukan pada 17 Disember untuk menentukan senarai akhir pemain, selain membincangkan tarikh sebenar tirai liga akan disingkap dengan Piala Tan Sri P Alagendra dijangka akan dilangsungkan pada 3 Januari.

Dua lagi situasi menarik menyaksikan hanya empat pasukan mendaftar bagi kategori wanita manakala 13 pasukan mengesahkan penyertaan dalam saingan lelaki Divisyen 1.