Penjaga gol hoki Sapura, Mohd Hairi Abd Rahman, kecewa satu trofi dan dua gelaran naib juara dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2016 belum cukup untuk meyakinkan pihak pengurusan apabila pasukan itu dibubarkan, kurang dua bulan menjelang musim baru LHM.

Selepas 29 tahun berjuang dalam LHM, Sapura mengambil keputusan menarik diri.

Ia tamparan hebat kepada pemain dan jurulatih selepas apa yang mereka pamerkan musim lalu menyaksikan Sapura menjuarai Piala Tan Sri P. Alagendra selain muncul naib juara liga dan Piala TNB.

Malah, keputusan ini cukup mengejutkan kerana pasukan itu sepatutnya memulakan sesi latihan untuk musim baru, minggu depan.

"Kami tak jangka benda ini akan terjadi sebab pencapaian musim lalu adalah antara pencapaian terbaik Sapura.

"Jadi, apabila kami menerima berita Sapura akan tarik diri dari liga tahun depan, ini sangat mengecewakan," kata Hairi.

Dengan ketiadaan Sapura, ini bermakna hanya enam pasukan akan meneruskan cabaran.

Ia termasuk penampilan sulung TNB Thunderbolt selaku juara Divisyen 1 musim lalu, sekaligus layak bertanding dalam Liga Perdana.

Hairi yang juga merupakan penjaga gol skuad pembangunan hoki negara, sedang mencari pasukan yang mahukan khidmatnya.

"Kami satu pasukan betul-betul mahu bermain bersama-sama lagi.

"Tapi nak buat macam mana, rezeki kami bukan di sini. Kami hormati keputusan pihak pengurusan.

"Kami tiada pilihan selain daripada mencari pasukan baru yang memerlukan khidmat kami."