Peluang pemain hoki dalam dewan bukti kemampuan

Oleh Penulis Jemputan 27 September 2017 99
Peluang pemain hoki dalam dewan bukti kemampuan
Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, memanggil beberapa pemain hoki dalam dewan untuk memperkuatkan pasukan Malaysia selepas kekurangan pilihan pemain untuk menghadapi saingan Piala Asia di Jepun, bulan depan.

Antara yang diberikan peluang untuk bersama-sama menjalani latihan dengan skuad hoki kebangsaan adalah Qasidah Najwa Muhammad Halimi, Rabiatul Adawiyah Mohammed serta penjaga gol, Priyangga S Jayarah.

Bagaimanapun, ia bukan satu keputusan muktamad kerana mereka perlu membuktikan kemampuan diri terlebih dahulu untuk merebut tempat dengan pemain sedia ada untuk mengesahkan nama dalam kelompok 18 terakhir ke Kakamigihara, Jepun.

“Pemain-pemain daripada skuad hoki dalam dewan memiliki peluang lebih cerah berbanding pemain-pemain muda yang saya serapkan ke dalam pasukan sebelum ini, jadi mereka harus menggunakan kesempatan itu dengan baik,” kata Dhaarma.

“Perasaan saya agak gementar tetapi ini adalah peluang saya untuk menyertai skuad hoki negara. Jika diberikan kesempatan, saya akan  menampilkan aksi terbaik,” ujar Qasidah Najwa.

Membawa masuk pemain hoki dalam dewan dilihat sebagai satu langkah yang tepat selepas Dhaarma kini tempang kerana kehilangan beberapa tonggak seperti Noor Hasliza Md Ali yang disahkan hamil baru-baru ini serta Fazilla Sylvester Silin yang sedang menjalani kursus latihan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen