Pahang lwn ATM: Nuraini harap kemenangan tahun lalu berulang

Oleh Penulis Jemputan 23 November 2017 231
Pahang lwn ATM: Nuraini harap kemenangan tahun lalu berulang
Pakar pukulan flik negara, Nuraini Rashid, berharap skrip sama dalam final Kejohanan Hoki Wanita Piala Tun Abdul Razak tahun lalu berulang di antara Pahang dan ATM apabila kedua-dua pasukan sekali lagi berentap dalam separuh akhir di Stadium Hoki Kuala Lumpur, esok.

Noraini selaku kapten Pahang berharap kemenangan 4-0 ke atas ATM dalam perlawanan akhir tahun lalu dapat diulangi dalam separuh akhir berdepan pasukan sama.

Katanya, persiapan terakhir kini lebih tertumpu kepada pukulan sudut penalti bagi memastikan Pahang mempunyai kelebihan untuk memburu gol.

Jelasnya, strategi ATM tidak boleh dijangka dan perlu memastikan kesilapan kecil tidak berlaku bagi mengelak lawan mencipta peluang.

"Apabila sampai kepada peringkat separuh akhir ini, peluang adalah 50-50. Jadi, kami perlu memanfaatkan peluang yang ada bagi mendapatkan gol," katanya.

Seorang lagi pemain Pahang, Siti Noor Amarina Ruhani, pula positif dalam memastikan slot ke final milik pasukannya apabila jurulatih, Mohd Asyraf Benedict Abdullah, melakukan perubahan daripada segi taktikal.

"Kami akan main bermati-matian dalam separuh akhir nanti. Kami tidak boleh ambil mudah sebab perlawanan itu memang sengit.

"Kami akan memberikan yang terbaik bagi memastikan laluan ke final," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen