Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, menganggap 18 pemain yang dipilih menghadapi play-off kelayakan Sukan Olimpik menentang Great Britain hujung minggu ini adalah barisan terbaik yang mampu dibina sejak setahun lalu.

Dia membina pasukan itu sejak memulakan tugas pada Oktober tahun lalu dan antara langkah yang dicipta adalah mengubah formasi pasukan, memilih pemain muda dan banyak mengadakan aksi persahabatan di Eropah, sekali gus meningkatkan keyakinan bahawa skuad di London itu adalah yang terkuat dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Ironinya, Malaysia tewas dua kali di tangan Korea Selatan dan dua kelab Belanda sebelum tiba di London sehingga menimbulkan persoalan mengenai peluang mengejutkan Great Britain.

"Kini sudah setahun. Kami perlu dapatkan cara yang tepat perlahan-lahan, mengenali setiap pemain. Saya rasa mereka sedia untuk menerapkan perancangan yang telah diberikan," kata Oltmans.

"Walaupun dalam 20 tahun terakhir kami tidak pernah tundukkan Great Britain, namun apa sahaja boleh berlaku. Apa yang penting adalah pemain menunjukkan komitmen terbaik mengikut perancangan daripada jurulatih," tambah kapten kebangsaan, Sukri Mutalib.

"Kami yakin. Dalam aksi pertama, ia memang penting kerana akan menentukan hala tuju permainan seterusnya. Sejak di Belanda sehingga London, kami sedang mempersiapkan perancangan menerusi situasi bola mati," ujar penjaga gol negara, S. Kumar.