Skuad hoki negara kendalian Roelant Oltmans berlepas ke Bhubaneswar, India hari ini dengan keyakinan mereka mampu mengejutkan Belanda dan Jerman walaupun tumpuan lebih terarah untuk menewaskan Pakistan bagi mencapai sasaran 10 negara terbaik.

Kelompok 10 negara terbaik bermakna Malaysia perlu menamatkan cabaran Kumpulan D, Piala Dunia sekurang-kurangnya di tangga ketiga untuk mara ke pusingan seterusnya.

Persekutuan Hoki Dunia (FIH) menggunakan format di mana setiap pasukan tidak akan melalui saingan klasifikasi kecuali dalam separuh akhir tetapi Oltmans menyahut cabaran Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

"Jelas sekali kami mahu berada dalam pusingan kedua. Kami harus menang sekurang-kurangnya satu perlawanan. Sebab itu saya jelaskan kepada pemain, kami akan hadapi cabaran satu perlawanan demi satu perlawanan," kata Oltmans.

Apa yang menggembirakan, semua pemain bebas daripada kecederaan tetapi penyerang negara, Firhan Ashaari, mengalami selesema. Bagaimanapun, ia bukan satu masalah besar buat Malaysian Hockey Tigers.

Malaysia akan memulakan saingan secara rasmi berdepan Belanda pada Sabtu ini.

"Sekarang saya semakin pulih tetapi ia bukan satu masalah untuk beraksi. Saya rasa tiada halangan untuk saya bermain," ujar Firhan.