Bekas kapten skuad projek 2016, Mohd Najib Abu Hassan, tidak pernah memadam impian ke Piala Dunia Remaja dan berharap keajaiban berlaku untuk Malaysia meraih tiket percuma ke Lucknow, India, bulan depan andai Pakistan menarik diri.

Skuad pembangunan negara meningkatkan tempo latihan selepas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengarahkan mereka bersiap-sedia.

Ia sebagai persiapan jika Pakistan selaku naib juara Piala Remaja Asia di Kuantan, Pahang, tahun lalu gagal menyelesaikan masalah dalaman dan terpaksa menarik diri.

“Piala Dunia Remaja ini merupakan cabaran terakhir sebelum menyertai saingan senior. Jika diberikan peluang beraksi di Lucknow, kami harus memberikan tumpuan sepenuhnya dalam sesi latihan,” kata Najib.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dijangka mengumumkan nasib Pakistan, minggu ini. Selain Pakistan, benua Asia akan diwakili India, Korea dan Jepun.

“Pembangunan skuad remaja masih lagi berjalan seperti biasa, kami gembira dan bersedia untuk menghadapi cabaran Piala Dunia Remaja jika diberikan peluang untuk beraksi,” kata penolong jurulatih hoki negara, Mohd Amin Abd Rahim.

Belanda akan mengetuai Kumpulan B dalam saingan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2016, diikuti juara 1979, Pakistan, Belgium dan Mesir.