"Mujur ada skuad pembangunan", itu pandangan Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Manjit Majeed Abdullah selepas skuad pembangunan hoki negara meraih tangga ke-11 Piala Dunia Remaja walaupun hanya membuat persiapan dalam tempoh tujuh hari.

Malaysia terikat 2-2 dengan Austria sebeleum menewaskan mereka 2-1 melalui penentuan pukulan penalti.

Mengakhiri saingan Piala Dunia Remaja 2016 di tangga ke-11 dianggap pencapaian yang memuaskan kerana Malaysia hanya sempat membuat persiapan selama seminggu walaupun gagal mencapai sasaran untuk mara ke suku akhir.

Realitinya, sebelum itu Malaysia beraksi di Piala Sultan Johor.

Kesinambungan Piala Sultan Johor memastikan pasukan ini sentiasa berada dalam kem latihan kebangsaan.

“Pasukan ini telah bersaing dalam Piala Sultan Johor, pada pendapat saya kita harus menubuhkan sebuah pasukan pembangunan bagi menghadapi Piala Dunia Remaja ini, jadi saya sangat berpuas hati dengan pencapaian mereka,” kata Manjit.

Pencapaian di Lucknow, India lebih baik berbanding edisi 2001 dan 2009 di mana Malaysia meraih tangga ke-12 dengan persiapan empat tahun.