Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak menghadapi masalah untuk muncul juara apabila mengetepikan cabaran Politeknik Ungku Omar (PUO) 9-1 dalam perlawanan akhir Liga Perdana TNB Perak di Stadium Azlan Shah Ipoh, semalam.

MBI, naib juara tahun lalu, mara ke final setelah menundukkan Manjung Hockey Team manakala PUO mengatasi Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) di peringkat separuh akhir.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal.

Dalam kenyataannya, beliau berbangga dengan penglibatan Perak dalam mempopularkan sukan ini di samping sebagai salah satu negeri yang banyak menyumbang pemain mewakili negara.

"Perak amat komited dalam bekerjasama dengan pihak MHC memantap dan melahirkan bakat-bakat hoki peringkat negara. Ini inisiatif yang bagus dan berharap usaha ini dapat diteruskan," ujar Subahan.

Kejohanan itu turut mempertandingkan kategori super wanita dan lelaki yang disandang Anderson Puma dan Sekolah Menengah Gunung Rapat.