Pendatang baru, Liga Hoki Malaysia (LHM) 2021, Sabah, berdepan tugas getir untuk mengelak daripada menjadi mangsa belasahan dalam aksi pembukaan menentang Terengganu Hockey Team (THT) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, esok.

Sabah berdepan tugas sukar untuk menghalang jentera serangan THT yang dibarisi Faizal Saari, Ismail Abu dan Mohd Akhimullah Anuar Esook.

Mereka hanya sempat berlatih di Kota Kinabalu sebelum tiba di Kuala Lumpur, Ahad lalu, bersama jurulatih, Eugine Lee, yang dilantik pada saat-saat akhir.

Namun, penyerang Sabah, Mohd Syamim Yusof, yang menjadi antara taruhan utama mereka mengintai misi mencipta kejutan biarpun skuad Di Bawah Bayu itu tidak sempat mengadakan sebarang aksi pemanas badan.

"Sabah memiliki barisan pemain muda yang berpengalaman dalam Piala Razak.

"Kami mempunyai flicker yang baik menerusi Baljit Singh dan Jiwa Mohan selain pemain muda.

"Kami akan cuba yang terbaik ketika bertemu THT," kata Syamim ketika dihubungi wartawan Astro Arena, Bazly Azmi.

Posted by Persatuan Hoki Sabah on Tuesday, March 9, 2021


Gergasi Pantai Timur itu akan turun sebagai pilihan untuk meraih tiga mata pertama musim ini.

Mereka menang keempat-empat aksi pemanas badan dengan terbaru, menundukkan TNB 2-1 yang menyaksikan penampilan semula penyerang berbisa, Faizal Saari, selepas pulih daripada COVID-19.

"Latihan kami agak singkat kerana ada beberapa pemain yang dijangkiti COVID-19.

"Persiapan kami tidak seperti pasukan lain, kami perlu mencari persefahaman dengan secepat mungkin.

"Kami harap dapat meraih satu piala. Apapun, kami harus bermain sehabis baik dalam setiap perlawanan," kata pemain tengah THT, Fitri Saari.

Sementara itu, kesemua lapan pasukan lelaki sudah pun mendaftar masuk di hotel penginapan rasmi.

Ini bermakna tiada sebarang kes positif COVID-19 selepas tiga tonggak THT dijangkiti, dua minggu lalu.

Kira-kira 600 pemain, jurulatih dan pegawai akan berada dalam gelembung sukan ini hingga tamat saingan tiga April depan.

Langkah ini memerlukan komitmen dan disiplin tinggi dan individu yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) akan mengakibatkan pasukan mereka dibatalkan penyertaan.