Ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, enggan terbuai-buai dengan kemenangan besar ke atas pasukan adik, TNB Thunderbolts, sambil mengakui pasukannya perlu meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Hoki Malaysia (LHM).

Baginya, kemenangan 11-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini mampu mencerahkan peluang mereka untuk merangkul kejuaraan musim ini.

Ia selepas mereka kehilangan kedudukan teratas kepada UniKL selepas mencatatkan seri dengan UiTM dan tewas kepada pasukan pendahulu itu.

"Perebutan juara itu agak tipis kerana hari ini UniKL menang 2-0.

"Kami perlu akur selepas kami terlepas (mata) dalam perlawanan pertama.

"Kami perlu bangun dan bangkit kerana masih berada di tangga kedua.

"Saya perlu memberitahu pemain supaya kekal beraksi baik di atas padang.

"Apabila mereka bermain, mereka perlu menjaringkan gol.

"Hari ini, mereka menjaringkan 11 gol dan harap-harap ia akan kekal dalam perlawanan yang seterusnya," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Thunderbolts, Nor Azlan Bakar, berharap anak buahnya akan bangkit dalam aksi seterusnya dan menganggap kekalahan besar itu sebagai pendedahan terbaik buat barisan pemain remajanya.

"Ia pendedahan kepada mereka untuk rasa sendiri tahap sebenar (saingan) perdana.

"Mereka rasa, mereka kecewa, harap-harap mereka akan bangkit dalam perlawanan seterusnya.

"Ini satu pendedahan yang amat baik," katanya.

TNB akan menantikan kunjungan Nurinsafi-Kedah manakala Thunderbolts akan berdepan THT, Rabu ini.


Editor: Muzaffar Musa