Jurulatih Tenaga Nasional Berhad, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, memberi amaran pasukannya mampu mencabar gergasi Liga Hoki Malaysia (LHM) yang bakal bermula 3 Januari ini walaupun tidak memiliki pemain import.

Nor Saiful yakin pasukannya mempunyai kebolehan tersendiri hingga tidak memerlukan khidmat pemain import untuk mencabar LHM.

Situasi itu berbeza dengan juara Piala TNB, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), yang diletakkan sebagai pasukan pilihan dengan kehadiran enam pemain import.

Namun, TNB tetap kompetitif dengan kehadiran 10 pemain kebangsaan, sama ada dalam pasukan senior atau remaja negara.

"Walaupun kami tidak mempunyai pemain import, kami mampu memberikan saingan. Kami telah melakukannya ketika berdepan UniKL musim lalu dan berharap meneruskan momentum itu," katanya.

Keserasian pemain senior dan muda turut meningkatkan keyakinan TNB untuk menamatkan kemarau trofi sejak 2013.