Dua gol daripada penyerang berbisa, Haziq Samsul, sudah cukup untuk Maybank mengutip tiga mata dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) selepas menumbangkan TNB Thunderbolts 3-2 di Bukit Jalil petang tadi.

Maybank turun dengan hasrat meneruskan tekanan kepada pendahulu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), tatkala harapan diletakkan di bahu penjaring terbanyak pasukan, Haziq, dan dia membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti.

Thunderbolts terpaksa menunggu sehingga suku ketiga untuk menyamakan kedudukan apabila Muhammad Faiq Nazwan tangkas menyambar peluang pada minit ke-32.

Selang beberapa minit kemudian, pengadil perlawanan menghadiahkan penalti strok buat Maybank setelah berlaku kekasaran dan penyerang berusia 26 tahun, Haziq, mudah untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Joel Van Huizen menambah derita buat Thunderbolts apabila bola kuisannya pada minit ke-48 meletakkan Maybank selesa mendahului 3-1.

Biarpun lawan kendalian Nor Azlan Bakar itu cuba merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Fahmi Khalid, Maybank kekal bertahan untuk mencatat kemenangan 3-2.

Keputusan itu membolehkan Haziq terus mencabar senarai penjaring terbanyak musim ini selepas mencatat lapan gol daripada lima perlawanan.

"Saya sangat bersyukur selepas dapat kembali beraksi setelah berehat setahun. Dalam lima perlawanan, dapat jaringkan lapan gol. Bagi saya, ia pencapaian yang baik. Saya perlu terus fokus," kata penyerang itu.

"Pujian harus diberikan kepada Thunderbolts kerana memberikan komitmen yang tinggi. Cuma ada beberapa peluang yang dilepaskan. Kami berpeluang untuk mengutip satu mata," tambah Nor Azlan.

Sementara itu, pendahulu liga, Tenaga Nasional Berhad (TNB), bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Terengganu Hockey Team (THT), 4-2.

TNB kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu ketinggalan hasil ledakan Faizal Saari pada minit ke-18 sebelum pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menjadikan kedudukan 1-1.

Gol daripada Shahril Saabah, Azrai Aizad Abu Kamal dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook mengesahkan kebangkitan TNB dalam suku ketiga sebelum Faizal menambah satu lagi gol buat THT.

Kemenangan itu menyaksikan TNB terus mengungguli tangga teratas LHM, berkongsi 15 mata dengan UniKL tetapi memiliki kelebihan menerusi perbezaan gol.

"Kami tidak mampu ambil kepantasan lawan. Saya rasa dalam dua babak awal, kami masih mampu tetapi apabila sudah masuk ke suku ketiga, kami tidak dapat membuat pertukaran seperti TNB," kata jurulatih THT, Dhaarma Raj Abdullah.

"Tiga mata ini memberi motivasi untuk aksi seterusnya. Saya mahu pemain bangun dan perlu lebih yakin untuk tundukkan semua pasukan. Separuh daripada pasukan ditunjangi pemain muda, jadi saya mahu lihat keyakinan itu," tambah Nor Saiful.

Keputusan lain:
UNIKL 3 KEDAH NURINSAFI 0
UITM 0 HOCKADEMY KL 1



Editor: Nafis Abdullah