Pengurus pertandingan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Brian Gerard Fernandes mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menarik diri daripada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) sementara Universiti Teknologi Mara (UiTM) sudah menyuarakan hasrat sama menjelang tarikh tutup pendaftaran pasukan, 8 Disember ini.

Hasrat KHM untuk menyaksikan 10 pasukan bertanding dalam Liga Perdana bermula 6 Januari depan, tidak kesampaian.

PDRM sah menarik diri sementara UiTM sudah memaklumkan secara lisan mahu mengambil tindakan sama.

Kekurangan masa yang diperlukan untuk mewujudkan skuad ampuh serta mendapatkan pemain import merupakan antara alasan pasukan itu mengambil keputusan untuk menarik diri.

"Lebih banyak pasukan yang bertanding, ia akan menjadi satu saingan yang lebih menarik untuk sukan hoki tempatan," kata Fernandes.

"Bagaimanapun, saingan akan tetap diteruskan walaupun hanya memiliki lapan pasukan yang mengambil bahagian.

"Saingan ini akan membantu pemain-pemain kebangsaan mengekalkan prestasi untuk menghadapi Piala Sultan Azlan Shah dan Sukan Komanwel tahun depan."

PDRM merupakan naib juara divisyen 1 musim lalu sementara UiTM meraih tangga kelapan Liga Perdana.

Kedua-duanya menyuarakan hasrat beraksi dalam divisyen 1 musim depan.

Perkembangan ini bermakna Liga Perdana akan membabitkan lapan pasukan dan antara yang mengesahkan penyertaan ialah juara liga, Kelab Hoki Kuala Lumpur, dan juara Piala TNB, Terengganu Hockey Team (THT).