Jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), Dhaarma Raj Abdullah, hampir pasti berkelana ke luar negara sebaik sahaja tamat saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), minggu depan.

Mendedahkan perkara itu, Dhaarma berkata situasi ketika ini menyebabkan keputusan tersebut diambil sambil Indonesia dikatakan akan menjadi destinasi seterusnya.

Malah, pengendali berpengalaman itu akan berlepas ke sana malam esok untuk menyelesaikan proses akhir sebelum bergelar ketua jurulatih kepada negara jiran tersebut.

Menurutnya, program jangka panjang yang mahu dirangka negara itu menjadi faktor dia menerima tawaran berkenaan walaupun banyak pasukan lain turut menyatakan minat.

"Sudah 90 peratus selesai, saya akan muncul secara rasmi di sana Isnin ini sebelum kembali pada Selasa untuk menghabiskan Piala TNB.

"Saya sudah mengecapi semua kejayaan dan tiada apa-apa lagi yang perlu saya buktikan di Malaysia.

"Saya tertarik dengan visi dan misi pasukan itu kerana mereka ada perancangan rapi serta sasaran besar.

"Mereka negara paling dekat dengan kita," jelasnya ketika ditanya selepas perlawanan dengan Hockademy KL di Kuala Terengganu, petang semalam.

Justeru, Piala TNB menjadi hadiah perpisahan terbaik buat THT yang gagal merampas kejuaraan liga daripada genggaman UniKL dengan baki satu perlawanan.

Begitupun, tugas itu bukan mudah sambil Dhaarma tetap menganggap THT bukan lagi pasukan pilihan walaupun turun sebagai juara bertahan.

"Saya mahu THT lebih bersemangat sekalipun saya pernah menjuarai liga selama lapan tahun berturut-turut selain juara berganda sebanyak lima kali.

"Sebab itu saya beritahu pemain-pemain supaya pertahankan Piala TNB kerana trofi itu cukup bermakna sebagai hadiah perpisahan," tambahnya.


Editor: Shaiful Shamsudin