Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) masih menunggu lampu hijau daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan khidmat kapten, Muhammad Razie Abd Rahim, dan Nabil Fiqri Mohd Noor untuk menyertai KejohananTrofi Juara-Juara Asia di Kuantan, bermula 20 Oktober ini.

Razie dan Nabil masih menjalani kursus latihan asas inspektor polis.

Mereka telah terlepas Liga Australia, yang menyaksikan skuad kendalian Stephen Van Huizen, hanya meraih tangga keenam daripada 12 pasukan yang bertanding.

Ketiadaan kedua-dua pemain itu dikhuatiri menjejaskan kekuatan The Malaysian Hockey Tigers, yang hampir pasti kehilangan perancang utama, Mohd Marhan Abd Jalil, ekoran kecederaan.

"Kami kini sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat Razie dan Nabil. Kami mempunyai komunikasi yang baik bersama PDRM, kami berharap semuanya bakal berjalan dengan lancar dan mendapat pelepasan daripada PDRM.

"Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, mereka bakal menyertai pasukan," jelas Pegawai Eksekutif KHM, Logan Raj.

Malaysia memiliki rekod baik dalamTrofi Juara-Juara Asia, apabila berada di tangga ketiga sejak edisi pertama pada 2011.

Pencabar utama pastinya juara bertahan, Pakistan, selain India, Korea Selatan dan Jepun, yang sedang membina skuad Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jika gagal mendapatkan pemain utama, Stephen masih mempunyai pilihan kedua, iaitu mengintai tonggak skuad pembangunan kendalian Wallace Tan.