KHM perjelas sebab peraturan baru diperkenal

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2018 220
KHM perjelas sebab peraturan baru diperkenal
Jawatankuasa Pertandingan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini menjelaskan tujuan sebenar peraturan baru yang diperkenalkan bagi Kejohanan Piala Razak 2018 yang sedang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Ia yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden KHM, George Koshy, dan ahli-ahli yang berada di bawah jawatankuasa tersebut mengatakan bahawa mereka menitikberatkan soal pembangunan di mana ia menjadi misi KHM untuk memastikan program akar umbi berjalan seiring agar setiap negeri dapat melahirkan pemain yang hebat.

Pengurus Pertandingan, Brian Fernandez, yang dihubungi hari ini memberitahu Jawatankuasa Pertandingan KHM telah menetapkan setiap negeri perlu mendaftar pemain yang dilahirkan di negeri tersebut di mana peraturan itu telah lama dipraktikan.

Cuma pembaharuan yang diperkenalkan tahun ini adalah setiap negeri hanya dibenarkan untuk mendapatkan khidmat empat pemain sahaja yang lahir di negeri lain dan peraturan tersebut telah dipersetujui.

“Peraturan telah lama dibuat di mana setiap negeri perlu mendaftarkan pemain yang lahir di negeri asal dan mereka boleh mendapatkan khidmat pemain daripada negeri lain dengan syarat negeri tersebut melepaskan pemain mereka untuk beraksi bagi negeri lain," kata Brian.

“Berdasarkan apa yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pertandingan dan telah dipersetujui, peraturan baru iaitu hanya membenarkan empat pemain diimport dari negeri lain diperkenalkan adalah untuk memastikan setiap negeri melakukan program pembangunan dengan sebaik mungkin.

“Jika program pembangunan dijalankan, mereka akan mempunyai pola pemain yang ramai dan tidak timbul masalah untuk mendaftarkan pemain bagi menyertai kejohanan.

“Selain daripada itu, semua sedia maklum bahawa kini setiap negeri mempunyai liga negeri yang bertujuan untuk mengcungkil bakat pemain yang ada di negeri mereka, maka seharusnya negeri-negeri ini mempunyai pola pemain yang ramai untuk mewakili negeri masing-masing."

Ketika pendaftaran awal dibuat, sebanyak 15 pasukan telah mendaftar dan tiga daripadanya menarik diri, menjadikan kini 12 pasukan bersaing bagi kategori lelaki dalam Piala Razak 2018.

Brian juga berpendapat kemungkinan peraturan baru yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pertandingan menyebabkan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis menarik diri daripada menyertai pertandingan tahun ini.

“Saya berpandangan ada kemungkinan besar Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan tahun ini kerana peraturan yang telah ditetapkan dan kemungkinan mereka tidak dapat mencari pemain untuk melengkapkan senarai pemain yang menyebabkan mereka terpaksa menarik diri,” jelasnya lagi.

Piala Razak 2018 membuka tirai hari ini dan dijadualkan tamat pada 3 November ini.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen