Ketua jurulatih hoki wanita akan dilantik April depan

Oleh Staff Writer 22 Februari 2020 72
Ketua jurulatih hoki wanita akan dilantik April depan
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dijangka melantik ketua jurulatih wanita negara April depan selepas presiden badan induk itu, Datuk Seri Subahan Kamal, mengesahkan seramai 23 calon termasuk dari luar negara memohon jawatan terbabit.

Skuad wanita negara dijangka memulakan kem latihan pusat pada minggu pertama April iaitu selepas pengendali baru dilantik.

Seramai 23 calon memohon jawatan yang sebelum ini dipegang Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dengan KHM merancang pelantikan kontrak selama empat tahun.

Sebelum ini, KHM mengumumkan tujuh daripada calon itu datang dari luar negara, namun enggan membuat pengesahan daripada jumlah keseluruhan.

"Permohonan untuk jawatan itu telah ditutup dan kami menerima 23 orang telah memohon jawatan tersebut. Jawatankuasa baru ini kami tubuhkan untuk 23 permohonan itu atas pelbagai kriteria seperti apa yang mereka buat sekarang (kerjaya terkini)," kata Subahan.

"Kami mungkin akan membuat penelitian semula dan akan buat keputusan. Tempoh masa, akan selesai sebelum bulan Mac. Minggu pertama April akan ada pelantikan bagi jurulatih wanita."

Sementara itu, mesyuarat lembaga eksekutif KHM tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap juara Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM), Hockademy KL, yang didakwa belum menjadi ahli gabungan Persatuan Hoki Kuala Lumpur ketika mengesahkan penyertaan liga.

Keputusan itu dibuat selepas menerima laporan jawatankuasa teknikal Liga Hoki Malaysia (LHM).

"Ia dibuat bahawa semua perlu diteruskan, tiada siapa perlu dihukum. Tiada tindakan akan diambil."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen