Kes doping penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, akan dikendalikan Jadadish Chandra, peguam yang turut terbabit membantu jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei, hingga digantung lapan bulan kerana positif bahan terlarang pada 2015.

Chandra bekerjasama dengan peguam berpangkalan di London, England, Mike Morgan, ketika mengendalikan kes Chong Wei.

Kerjasama itu dianggap berjaya apabila pemain perseorangan badminton itu hanya digantung lapan bulan akibat positif dexamethasone, sebelum bangkit meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

Jurulatih pasukan hoki negara, Stephen Van Huizen, mengharapkan sentuhan sama untuk membantu Kumar yang mempunyai tempoh lapan bulan sebelum menghadapi Sukan Asia Indonesia 2018.

Ia adalah temasya sukan penting bagi skuad negara kerana menawarkan slot automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi kemenangan pingat emas.

"Kami percaya dengan pengalamannya (Chandra) selain turut menerima nasihat daripada ADAMAS (Agensi Anti Doping Malaysia).

"Kami berharap dapat mengemukakan kes ini bagi meyakinkan FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) bahawa Kumar tidak melakukannya dan ia bukan dadah perangsang prestasi," katanya.

Kumar berdepan penggantungan maksimum dua tahun selepas didapati positif sibutramine ketika membantu Malaysia muncul naib juara Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

Malaysia hampir pasti hilang khidmat Kumar untuk Piala Sultan Azlan Shah pada Mac dan Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, sebulan kemudian.