Kepulangan Revington ditagih -- Azrul Afendi 

Oleh Shaiful Shamsudin 25 September 2020 365
Kepulangan Revington ditagih -- Azrul Afendi 
Bekas pengendali negara, Paul Revington, sering kali dikaitkan sebagai calon terbaik untuk mengisi jawatan pengarah teknikal bagi skuad Projek 2026 menjelang Mesyuarat Lembaga Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), esok. 

Posisi pengarah teknikal dan jurulatih penjaga gol senior lelaki kebangsaan juga menjadi persoalan. 

Walaupun skuad Projek 2026 tidak mempunyai kejohanan tahun ini, namun perancangan perlu dilakukan lebih awal.

Apatah lagi kalendar bagi tugasan antarabangsa tahun depan -- yang turut membabitkan skuad wanita dan lelaki Projek 2026 yang dalam misi memburu tiket ke Piala Dunia Remaja -- dijangka padat.

Skuad senior lelaki kebangsaan pula berdepan Piala Asia selaku kelayakan Piala Dunia 2023.

"(Sosok) jurulatih dari luar semestinya menjadi pilihan kerana ia boleh membawa benda (pendekatan) baru buat kami.

"Saya lihat jurulatih luar yang pernah melatih kami (boleh diangkat sebagai calon pilihan)," kata bekas pertahanan The Malaysian Hockey Tigers,  Azrul Afendi Bistaman, kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.




Revington dikaitkan sebagai calon terbaik memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas sebagai bekas pengendali negara termasuk di Afrika Selatan, Ireland dan Great Britain. 

"Ia bagus buat KHM kerana kami dalam misi 2023 dan kami memerlukan pengarah teknikal bagi merancang perjalanan skuad negara.

"Pengalaman (dalam kancah tempatan) boleh membantunya untuk merencanakan perancangan pasukan kebangsaan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen