Kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib, akan mencipta sejarah sebagai pemain paling banyak mewakili Malaysia dengan 333 penampilan di peringkat antarabangsa menjelang perlawanan menentang Great Britain dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di London awal pagi Ahad ini.

"Ia sesuatu yanng saya amat bersyukur kerana masih diberikan kekuatan untuk menyarung jersi kebangsaan sehingga akan mencecah 333 penampilan.

"Saya akan menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu pasukan.

"Bagi saya, ia amat bermakna kerana daripada itu, saya dapat tahu bahawa pengalaman saya dalam sukan hoki amat luas.

"Tetapi apa yang paling penting, saya perlu membantu pasukan untuk layak ke Sukan Olimpik kerana ia sememangnya objektif utama saya," katanya.

Ditanya mengenai situasi Great Britain yang tempang tanpa dua pengambil pukulan sudut penalti utama, Sukri, 33, menambah: "Ia mungkin sesuatu yang positif tetapi ia akan menjadi sesuatu yang amat rahsia buat mereka.

"Saya lebih risau kerana tidak tahu siapa yang akan mengambil pukulan sudut penalti buat mereka," katanya lagi.