Kelayakan Sukan Olimpik 2020: Oltmans bimbang kesilapan berulang

Oleh Penulis Jemputan 3 November 2019 1196
Kelayakan Sukan Olimpik 2020: Oltmans bimbang kesilapan berulang
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, bimbang peluang Malaysia bangkit dalam aksi kedua play-off kelayakan Sukan Olimpik malam ini akan musnah jika pemain mengulangi kesilapan seperti ketika tewas 4-1 di tangan Great Britain, awal pagi tadi.

Pemain negara melakukan banyak kesilapan individu hingga berdepan tugas sukar untuk layak ke Olimpik Tokyo dan sama ada hilang kawalan bola atau terlepas peluang keemasan, apa yang pasti Malaysia perlu mengejar defisit tiga gol dalam aksi kedua.

Oltmans dijangka menggunakan taktikal menyerang, namun ia tidak akan berhasil jika pemain terus melakukan kesilapan.

"Saya tidak puas hati dengan persembahan yang ditunjukkan. Kami tidak melakukan perkara asas. Ia kesilapan yang kerap berulang," katanya.

Antara pemain yang mendapat kritikan ialah penyerang, Azrai Aizad Abu Kamal, yang terlepas dua peluang keemasan sambil skuad kebangsaan hanya menghasilkan satu jaringan pukulan sudut penalti daripada empat gerakan dilancarkan.

"Ada sedikit rasa gugup tetapi apabila mengikut nasihat pemain senior, perasaan itu hilang. Cuma, kami tidak biasa dengan cuaca, mungkin sebab itu," ujar Azrai Aizad.

"Siapa yang jaringkan gol untuk pasukan tidak penting. Kemenangan lebih penting dan kami tahu kini sedang ketinggalan tiga gol. Jadi, setiap peluang yang ada perlu disempurnakan," tambah seorang lagi pemain kebangsan, Nabil Fiqri Mohd Noor.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen