Great Britain masih belum selesa dengan kelebihan tiga gol tatkala kapten, Adam Dixon, menegaskan impian ke Sukan Olimpik Tokyo akan musnah jika pemain memandang rendah keupayaan The Malaysian Hockey Tigers.

Pasukan bimbingan Danny Kerry itu tetap menghormati Malaysia walaupun dilihat sebelah kaki sudah ke Tokyo dan pasukan yang pernah meraih pingat emas Olimpik sebanyak dua kali itu perlu menunggu hingga suku ketiga untuk bangkit sebelum menang 4-1 awal pagi tadi.

Ia bukti Malaysia mampu melakar kejutan dalam aksi kedua play-off malam ini.

"Kami tidak memikirkan tentang Olimpik ketika ini. Ia melibatkan dua perlawanan dan sekarang seperti selepas babak pertama. Kami memenangi saingan pertama dan kini akan berdepan baki perlawanan," ujar Dixon.

"Perlawanan masih belum tamat. Malaysia memiliki pakar pukulan sudut penalti manakala kami tidak menyempurnakan tiga peluang daripada situasi itu," tambah Kerry.

Kehadiran 200 penyokong Malaysia juga mampu mempengaruhi keputusan perlawanan dan mereka jelas masih menaruh keyakinan bahawa peluang buat The Malaysian Hockey Tigers untuk ke Tokyo masih terbuka.

"Saya rasa jika skuad negara bermain mencapai potensi sebenar, Great Britain boleh ditundukkan. Kami mendahului 1-0 dalam suku pertama tetapi tidak tahu apa berlaku selepas itu," kata salah seorang penyokong Malaysia.