Tiada pemain hoki negara yang akan bersara walaupun selepas gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 ekoran kekalahan 9-3 secara agregat di tangan Great Britain, sekali gus menjadi mentor kepada barisan muda.

Tindakan itu diambil kerana mahu menunggu senarai akhir pasukan yang akan mencabar dalam Olimpik Tokyo.

Ia susulan tindakan Afrika Selatan yang pernah menarik diri daripada beberapa kejohanan besar, termasuk Olimpik Rio 2016, membuatkan pemain senior kebangsaan mempertimbangkan semula hasrat bersara.

Situasi itu dilihat meningkatkan keyakinan barisan muda untuk meneruskan cabaran mewakili negara.

"Sudah empat tahun pemain senior berlatih, kemudian saya sertai skuad pada tahun ini dan dapat beraksi dalam saingan besar sebegini. Tekanan memang ada dan saya dapat rasakannya," kata penyerang kebangsaan, Azrai Aizad Abu Kamal.

"Perkara ini tidak boleh berulang lagi. Tidak sepatutnya kami lepaskan peluang yang ada," tambah pertahanan kebangsaan, Syed Syafiq Syed Cholan.

Situasi itu jelas berbeza dengan Great Britain yang tetap cemerlang walaupun kehilangan khidmat tiga pemain utama ekoran kecederaan.

"Kami terlepas beberapa pemain utama dalam skuad. Jadi, ia sesuatu yang bagus untuk Great Britain apabila menang. Ia lebih kepada usaha sepasukan," ujar kapten Great Britain, Adam Nixon.