Skuad hoki lelaki kebangsaan akan berdepan Great Britain bagi perlawanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 susulan majlis undian yang berlangsung di ibu pejabat Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Lausanne, Switzerland sebentar tadi.

Majlis undian berkenaan turut disaksikan secara langsung oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, serta Timbalan Presiden KHM, Prof. Datuk Dr S. Shamala di ibu pejabat KHM bersama jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Roelant Oltmans.

Dua perlawanan kelayakan tersebut dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 3 November depan dengan Pusat Hoki dan Tenis Lee Valley, London menjadi tuan rumah kepada aksi berkenaan.

“Ini undian paling sukar buat kami tetapi ia hakikat yang perlu kami terima. Ini bukan satu masalah, kami tahu apa yang perlu dilakukan dan percaya dengan peluang yang kami ada. Saya percaya setiap pasukan ada kelemahan dan itu yang perlu kami manfaatkan berdepan Great Britain,” jelas Oltmans.

Kapten pasukan, Sukri Mutalib, optimis dengan kemampuan pasukan dalam usaha untuk mendapatkan slot ke Tokyo 2020.

"Kami perlu menilai semula persembahan ketika layak ke Piala Dunia di London dua tahun lalu," katanya.

"Malaysia mendapatkan slot ke Piala Dunia secara merit, namun tekanan yang dihadapi pasukan sementara tiada siapa yang menjangkakan kami mampu layak adalah motivasi terbaik untuk kami menghadapi saingan playoff ini.

"Banyak penambahbaikan dalam mutu permainan pasukan tahun ini. Saya yakin jika Malaysia menampilkan aksi terbaik, tidak mustahil mampu mendapatkan kemenangan.

"Perkara paling penting adalah bagaimana mentaliti setiap pemain menghadapi perlawanan ini. Setiap pemain harus fokus sejak beberapa bulan lalu dan memastikan kualiti ditampilkan dalam sesi latihan."

Skuad hoki lelaki kebangsaan bakal menjadikan Korea Selatan sebagai destinasi terakhir untuk melakukan persiapan. Mereka akan ke sana pada 19 September dan kembali ke Malaysia 29 September.

Seramai 20 pemain dipilih untuk mengikuti aksi ujian yang telah dirangka itu di mana Malaysia akan menjalani empat perlawanan ujian bertemu pasukan kebangsaan Korea Selatan.

Empat perlawanan ujian itu akan turut dijadikan sebagai kayu pengukur oleh Oltmans bagi meneliti siapakah pemain yang mungkin berada di dalam senarai utama 18 pemain bagi menghadapi misi penting kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.