Impian skuad hoki negara untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 terkubur apabila tewas 5-2 kepada Great Britain dalam perlawanan kedua pusingan kelayakan di Lee Valley Hockey & Tennis Centre, London lewat malam tadi.

Dengan itu, Great Britain menjadi pasukan ke-11 layak ke Tokyo dengan agregat 9-3 selepas membenam The Malaysian Tigers 4-1 dalam perlawanan pertama semalam.

Kali terakhir skuad negara beraksi di pentas Sukan Olimpik adalah dalam temasya Sydney 2000, apabila pasukan kebangsaan menamatkan saingan di tempat ke-11 daripada 12 negara bertanding.

Malaysia, yang turun dengan misi wajib memburu kemenangan besar, bagaimanapun, dikejutkan dengan keputusan pengadil yang menghadiahkan pukulan penalti kepada Great Britain di awal permainan.

Skuad kendalian Roelant Oltmans itu meminta rujukan video bagi menyelamatkan kedudukan, namun keputusan tetap berpihak kepada Great Britain.

Alan Forsyth menyempurnakan pukulan penalti itu dengan satu tolakan yang cukup baik sehingga mengelirukan penjaga gol negara, S. Kumar, pada minit kesembilan.

Dua minit kemudian, Sam Ward menggandakan gol sebelum pemain tengah negara, Mohd Fitri Saari, merapatkan jurang dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24.

Bagaimanapun, Ward sekali menambah derita skuad negara dengan menyumbat gol ketiga Great Britain menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31.

Malaysia seterusnya memproleh pukulan sudut penalti kedua selepas penyerang negara, Faizal Saari, dikasari sehingga terjatuh pada minit ke-32, namun ia gagal diterjemahkan kepada gol.

Sebelum suku ketiga berakhir, Muhammad Razie Abdul Rahim merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-40.

The Malaysian Tigers, yang tertekan memburu gol dalam suku terakhir, dikejutkan dengan gol padang Forsyth pada minit ke-56 sebelum pemain itu melengkapkan jaringan hatriknya dengan menyudahkan pukulan penalti pada minit berikutnya.

-- BERNAMA