Kami sudah ada pelan jangka panjang -- Oltmans 

Oleh Penulis Jemputan 1 Oktober 2018 1424
 Kami sudah ada pelan jangka panjang -- Oltmans 
Roelant Oltmans tidak memberi jaminan mampu membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 kerana masa terlalu suntuk selepas diumumkan sebagai ketua jurulatih baru skuad hoki negara sambil Stephen Van Huizen dilantik penolongnya.

Beliau mengakui bukan mudah mengubah corak permainan The Malaysian Hockey Tigers dalam tempoh enam bulan.

Malaysia akan menghadapi final Siri Hoki Dunia di Kuala Lumpur, April depan dengan dua pasukan terbaik akan menghadapi kelayakan Sukan Olimpik pada Oktober 2019.

Apa yang boleh dijanjikan bekas pengendali India dan Pakistan itu, beliau akan mencurahkan segala ilmu untuk melakukan sesuatu yang mustahil.

"Saya seorang yang gemar membuat perancangan tersusun. 

"Kami sudah mempunyai perancangan jelas untuk dicapai dalam tempoh tertentu, mungkin setahun atau lebih lama lagi. 

"Bagaimanapun, saya akan cuba  memperincikannya lagi," katanya. 

Pelantikan Oltmans secara tidak langsung mengubah struktur kejurulatihan skuad senior kebangsaan.

Van Huizen akan bertindak selaku penolong jurulatih dan pengurus, Mohd Amin Rahim (penolong jurulatih) sementara Nasihin Nubli (jurulatih penjaga gol).

"Langkah ini bagus untuk permainan dan sukan hoki. 

"Saya melihat ini daripada sudut positif tetapi saya juga lega kerana kami akan mempunyai seorang ketua jurulatih yang akan menggalas tanggungjawab dan saya di sini untuk menyokongnya. 

"Biarpun peranan kami berbeza, sokongan saya terhadap beliau demi kesetiaan terhadap pasukan amat penting," kata Van Huizen. 

Sementara itu, barisan tonggak senior negara menyambut baik langkah pembaharuan ini dan optimis ia akan menjadi sinar baru dalam perjuangan hoki negara. 

"Kami terima dengan hati terbuka.

"Situasi di luar kawalan kami, kami harus menerima segala keputusan yang dibuat," ujar kapten hoki negara, Sukri Mutalib.

"Ini menujukkan orang masih menaruh keyakinan terhadap hoki. 

"Kami harus melakukannya selangkah demi selangkah. 

"Kami akan menghadapi Trofi Juara-Juara Asia serta Piala Dunia, untuk itu kami akan melakukan yang terbaik," kata penyerang hoki negara, Faizal Saari.

"Ini satu perkembangan yang positif. Barisan kejurulatihan sebelum ini bukannya tidak  bagus cuma kami mahu lebih bagus lagi. 

"Daripada segi dan struktur, saya harap Oltmans dapat membawa pembaharuan terhadap hoki negara," kata pemain tengah hoki negara, Fitri Saari.

"Kami akan berbincang dengan Oltmans mengenai sebarang penambahbaikan di bahagian penjaga gol selain kehadiran penjaga gol yang sedia ada, kata Nasihin.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen