Pengarah Kejohanan, Liga Hoki Malaysia (LHM), Jusvir Singh, menetapkan Khamis ini sebagai tarikh akhir untuk setiap pasukan memuktamadkan venue masing-masing selepas menerima aduan lisan mengenai kerosakan beberapa stadium.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) masih memberikan masa kepada pasukan seperti Nur Insafi dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berdepan masalah venue.

Nur Insafi akan memohon menukar venue ke Lembah Klang sementara UiTM diminta memperbaiki padang Stadium Hoki UiTM, Shah Alam.

KHM memahami masalah pasukan bertanding dan akan memberikan masa untuk mereka membuat keputusan.

"Terdapat beberapa pasukan belum memaklumkan kepada kami dalam menetapkan venue yang bakal digunakan," kata Jusvir.

Mengikut perancangan, lima stadium akan digunakan sebagai gelanggang Liga Perdana Lelaki.

KHM sudah memeriksa semua stadium terbabit dan mengarahkan penambahbaikan dilakukan sebelum LHM bermula 11 Januari ini.

"Setakat ini, Terengganu Hockey Team (THT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) telah memuktamadkan venue dan telah diluluskan. Cuma terdapat beberapa perkara yang harus dipertingkatkan lagi sebelum saingan LHM bermula."