Malaysia patut menganggap aksi menentang India esok sebagai final jika berhajat meraih kemenangan keempat berturut-turut, sekali gus muncul juara Trofi Juara-Juara Asia 2016.

Dengan tiket ke separuh akhir sudah berada di dalam genggaman, skuad kendalian Stephen van Huizen kini memiliki pilihan untuk menentukan siapakah lawan dalam separuh akhir.

Bekas pemain negara, Datuk Mirnawan Nawawi, berpandangan sembilan mata yang dikumpul Malaysia dalam kejohanan berkenaan setakat ini merupakan keputusan yang cemerlang.

"Saya tidak melihat mengapa skuad van Huizen harus memperlahankan rentak atau momentum kecemerlangan mereka setakat ini kerana mereka harus meneruskannya untuk perlawanan yang akan datang."

Selepas menewaskan Jepun 7-2 kelmarin, skuad negara akan bertemu India dalam perlawanan keempat di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan esok.

Bercakap mengenai perlawanan itu, Mirnawan berkata skuad negara tidak seharusnya bermain secara terbuka.

"Pasukan India merupakan pasukan yang mantap, mereka telah membuktikannya di Sukan Olimpik.

"Saya melihat jika pasukan negara mengambil pendekatan dengan tidak bermain secara terbuka dan tidak memberikan pukulan sudut penalti yang mudah kepada pasukan India, saya percaya pasukan negara dengan taktikal yang begitu baik, boleh melakukan kejutan.

"Harus diingat, India mempunyai pakar pukulan sudut penalti yang begitu cemerlang, iaitu Rupinderpal Singh."

Diminta mengulas mengenai rekod pertemuan Malaysia yang tidak begitu baik menentang India tahun ini, terutama tewas 6-1 dalam Piala Sultan Azlan Shah, April lalu, Mirnawan berkata skuad negara harus melupakan kejohanan lalu.

"Dalam Piala Sultan Azlan Shah sebelum ini dan juga Liga Hoki Australia, Malaysia tewas kepada pasukan India.

"Bagaimanapun, bagi saya, jika kita mengambil pendekatan yang perlu dan melakukan analisis ke atas pasukan India serta memberikan fokus sepenuhnya dengan memastikan mereka tidak melakukan kesilapan yang mudah, Insya-Allah kita boleh lakukan kejutan."

Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia edisi keempat berlangsung di Kuantan, Pahang sehingga 30 Oktober ini.

India, yang juga pasukan pilihan kejohanan, kini berada di kedudukan kedua dengan mengumpul tujuh mata selepas menewaskan Jepun 10-2, Pakistan 3-2 dan seri 1-1 menentang Korea Selatan.

Gambar: Laman facebook Malaysian Hockey Confederation