Hasrat skuad hoki negara untuk mengesahkan tempat dalam final lebih awal tertangguh selepas tunduk 2-6 di tangan India dalam aksi kedua peringkat separuh akhir round robin Piala Asia 2018, sebentar tadi.

Selepas menewaskan Pakistan 3-2 dalam aksi semalam, ternyata anak buah Stephen Van Huizen bukan tandingan buat India apabila dikejutkan dengan gol awal daripada Akashdeep Singh pada minit ke-14.

Harmanpreet Singh menambah gol kedua lawan ketika babak kedua berusia empat minit menerusi pukulan sudut penalti sebelum SK Uthappa menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-24.

Bersambung suku masa ketiga, Gurjant Singh terus menambah duka buat Malaysian Hockey Tigers apabila menyempurnakan hantaran dari sebelah kanan sebelum mudah menewaskan penjaga gol negara, S. Kumar, pada minit ke-33 sebelum SV Sunil turut meletakkan nama dalam senarai penjaring dengan jaringan kelima India, tujuh minit kemudian.

Malaysia bernasib baik berjaya meraih dua gol menerusi Muhammad Razie Rahim dan Muhamad Ramadan Rosli pada minit ke-50 dan 59, tetapi jaringan itu tidak menghalang India daripada terus mengganas apabila Sardar Singh mengutip jaringan keenam buat India pada minit terakhir perlawanan.

Kedudukan 6-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dengan kemenangan berpihak kepada India tetapi skuad negara masih berpeluang untuk melayakkan diri ke final sekiranya berjaya menundukkan Korea Selatan dalam aksi ketiga separuh akhir round robin, Sabtu ini.