Selangor memastikan laluannya ke final selepas mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Kuala Lumpur dalam separuh akhir Kejohanan Hoki Wanita Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Kuala Lumpur, hari ini.

Pada awal perlawanan, corak permainan kemas dipamerkan oleh Kuala Lumpur menerusi beberapa serangan pantas.

Jaringan yang dinanti-nantikan Kuala Lumpur akhirnya tiba pada minit ke-11 apabila Norazlin Sumantri menyudahkan peluang daripada pukulan sudut penalti.

Selangor, bagaimanapun, membalasnya dengan percubaan Fatin Shafikah yang gagal ditampan kemas penjaga gol lawan, Noortasya Hidayah, pada hujung babak pertama.

Seminit selepas suku ketiga bermula, Kuala Lumpur kembali di depan setelah Nur Syafiqah Mohd Zain memperoleh jaringan.

Situasi itu tidak mematahkan semangat Selangor. Mereka pula menemui gol menerusi Nor Atira Mohamad Ismail untuk mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-33.

Seminit selepas itu, Nor Atira sekali lagi cemerlang dengan memperoleh gol peribadi keduanya bagi membawa Selangor di depan buat kali pertama.

Jaringan itu menyentap barisan pemain Kuala Lumpur yang berusaha keras dalam membuat serangan.

Begitupun, Selangor kental bertahan bagi memastikan keputusan akhir 3-2 memihak kepada mereka untuk berentap dengan Pahang dalam final, Ahad ini.