Perak menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir walaupun diikat 1-1 oleh Johor dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Hoki Piala Razak di Ipoh, semalam.

Jaringan tuan rumah disumbangkan Muhammad Najib Abu Hassan pada minit ke 26 manakala Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar membalas kedudukan pada minit ke-56.

Menurut jurulatih Perak, Mohd Nizam Mohd Hashim, pasukan lawan, Johor, mempamerkan semangat juang yang tinggi kerana mereka juga berpeluang ke peringkat seterusnya jika menewaskan Perak.

"Johor memberikan tekanan sehingga kami hilang fokus dalam 10 minit terakhir. Namun, secara keseluruhan Perak menunjukkan peningkatan dan dapat mengatasi cabaran.

"Bila bertemu Melaka nanti, saya harapkan semangat dan fokus pemain dapat dikekalkan," kata Nizam.

Perak akan bertemu Melaka manakala Terengganu akan berhadapan Negeri Sembilan dalam peringkat separuh akhir, esok.