Jurulatih skuad hoki Pakistan, Hasan Sardar, memuji kecekapan penjaga gol, Imran Butt, dan pelari pertama mereka yang menghalang pukulan sudut penalti Malaysia ketika seri 1-1 dalam aksi kedua Kumpulan D, Piala Dunia 2018, semalam.

Pakistan menjalankan kajian teliti mengenai cara menghalang pukulan sudut penalti Malaysia dan usaha itu berhasil apabila bekas juara dunia empat kali itu menggagalkan lima gerakan menerusi kecekapan Imran dan pelari pertama, Muhammad Rizwan dan Ajaz Ahmad.

Ia kunci utama untuk mengikat Malaysia, sekali gus meletakkan mereka dalam situasi lebih selesa untuk mara ke pusingan kedua.

"Saya harus katakan bahawa penjaga gol saya beraksi sangat cemerlang. Dia bijak menafikan deretan pukulan sudut penalti yang diraih lawan," kata Imran.

Apa yang menarik, Pakistan lebih tertekan di Stadium Kalinga apabila penyokong tuan rumah turut berada di belakang Malaysia tetapi dinafikan oleh Muhammad.

"Aksi sebegini adalah sesuatu yang normal buat kami kerana ini bukan kali pertama kami berdepan lawan seperti Malaysia," ujarnya.