Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, gembira dengan sikap pemain yang kembali bangkit untuk menghadapi aksi wajib menang ke atas Pakistan esok dalam perebutan tiket pusingan kedua Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.

Moral pemain negara sudah melepasi fasa membimbangkan selepas dibelasah Belanda 7-0 dalam aksi pembukaan dan mereka tampak fokus terhadap sesi latihan di Stadium Kalinga, sekali gus memberi petanda baik menjelang pertemuan dengan Pakistan.

Skuad kendalian Oltmans itu perlu menang kerana jumlah perbezaan gol berpihak kepada Pakistan, sekali gus menambahkan tekanan buat Malaysia.

Bagaimanapun, selepas sesi latihan, Oltmans yakin anak buahnya mampu menumbangkan pasukan yang berada di ranking ke-13 dunia itu.

"Ya, saya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pemain hari ini. Sebelum ini, mereka melakukan kesilapan tetapi itu memang sebahagian daripada permainan.

"Mereka tampak semakin bertenaga, membuatkan saya berpuas hati," katanya.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Pakistan adalah sewaktu separuh akhir Piala Asia 2017 di Bangladesh.

"Kami sudah berdepan mereka dua kali sebelum ini di mana kami meraih keputusan satu kalah dan seri. Saya yakin kami akan mendapatkan keputusan yang positif."