Posisi penjaga gol negara untuk menghadapi Belanda dalam aksi sulung Kumpulan D, Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, esok masih menjadi teka-teki.

Pengendali skuad negara, Roelant Oltmans, akan membuat keputusan beberapa jam sebelum perlawanan, sama ada akan menggunakan khidmat S. Kumar atau Hairi Abd Rahman.

Hairi menyerlahkan peningkatan mendadak sejak Kumar dilanda kecederaan tangan, namun kehadiran semula penjaga gol veteran itu kembali menggugat kedudukannya.

"Kedua-duanya tampil dengan baik setakat ini.

"Saya tetap yakin dengan sesiapapun yang akan diturunkan bagi mengawal gawang nanti," kata Oltmans.

Kumar pula sanggup mengetepikan keadaan tangan yang masih berbalut untuk menyertai rakan sepasukan mencabar Belanda dengan memberitahu: "Saya dalam keadaan baik.

"Cuma bagi menambahkan keyakinan, saya perlu balut tangan ini.

"Selain daripada itu, saya sudah bersedia untuk diturunkan bagi perlawanan sulung.

"Saya sudahpun diberi taklimat mengenai taktikal esok, perlawanan pertama sangat penting.

"Kami sudah membuat persiapan untuk menghadapi pukulan sudut penalti lawan.

"Saya pernah berdepan dengan Jeroen Hertzberger, jadi saya sudah bersedia untuk pemain Belanda itu."