"Satu trofi tiada masalah," itu keyakinan dua pemain import Universiti Kuala Lumpur (UniKL), David Harte dan Sander de Wijn, selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA) untuk mencabar Liga Hoki Malaysia (LHM) 2018, bermula Rabu ini.


Harte dan De Wijn adalah pemain import pertama tiba ke Malaysia menjelang musim baru LHM.
Mereka mengambil keputusan berehat daripada tugasan skuad kebangsaan masing-masing untuk memberi tumpuan bagi membantu UniKL menamatkan kemarau trofi.

UniKL tidak pernah mengecap sebarang kejuaraan sejak ditubuhkan pada 2009, namun kali ini peluang mereka cerah apabila memancing pemain import berkualiti.

"Kami mahu berusaha dengan pasukan UniKL dan cuba mencipta kejayaan pada musim ini," kata Harte.

"Saya sangat yakin bersama skuad UniKL dan tidak sabar untuk bertemu rakan sepasukan yang lain," kata De Wijn pula.

Pemain import lain yang akan menyertai UniKL ialah tonggak Australia, Kieran Govers, Timothy Deavin, Glenn Turner selain Jeroen Hertzberger dari Jerman.

UniKL akan berdepan Selangor Darul Ehsan pada pusingan pertama Piala Tan Sri P. Alagendra di Stadium Hoki Nasional 2 Bukit Jalil, Rabu ini.