Beban yang ditanggung tonggak Pasukan Hoki Terengganu (THT), Mohd Fitri Saari, mendapat perhatian Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) apabila memberikan sumbangan RM10,000 untuk membantu kos rawatan anaknya, Muhammad Adam Zafran.

Keadaan Muhammad Adam dilaporkan kritikal ketika Fitri dalam misi negara dalam Kejohanan Hoki Piala Asia di Dhaka, India, Oktober lalu, sekaligus memaksanya kembali ke pangkuan keluarga.

Fitri, 25, bersyukur anak sulungnya itu akan dibenarkan pulang dalam masa terdekat selepas empat bulan dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU), Hospital Serdang.

Bagaimanapun, kesihatan Muhammad Adam masih perlu dipantau dengan keperluan menggunakan mesin bantuan pernafasan.

“Bantuan ini dapat mengurangkan beban kami sekeluarga yang telah mengeluarkan belanja lebih RM20,000, termasuk kos mesin oksigen sehingga mampu bernafas sendiri.

“Muhammad Adam ialah bayi pra-matang yang lahir bersama adik kembarnya, Muhammad Yusuf Zahran, yang sudah beransur sembuh,” ujarnya.

Sumbangan itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, kepada Fitri selepas perlawanan Piala Sumbangsih menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden MHC, George Koshy, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu dan Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat.