Penjaga gol skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya, mahukan pendedahan di peringkat tertinggi agar skuad negara mampu tampil lebih matang dalam kejohanan penting, sekaligus membantu usaha untuk memecahkan dominasi kedudukan empat terbaik Asia.

Aksi di Kakamigahara, Jepun menyaksikan Malaysian Tigress hampir menepati sasaran asal, namun bolos dengan jaringan saat-saat akhir pihak lawan menjadi punca Malaysia akur di kedudukan kelima.

Bagi Ayuni, pengalaman memainkan peranan penting setiap kali skuad negara berdepan saat genting dan ia hanya mampu diperoleh menerusi pendedahan di peringkat tertinggi.

"Kalau diikutkan, skuad wanita negara tidak mendapat banyak peluang untuk beraksi. Kalau boleh, kami mahukan peluang untuk bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam masa sama, skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, itu gagal mengumpulkan barisan terbaik dan Ayuni serta rakan sepasukan akur hasrat untuk menduduki kelompok empat terbaik Asia terpaksa ditangguhkan.

Bagimanapun, berbekalkan saingan Sukan Asia pada Ogos tahun depan serta tempoh persediaan selama sembilan bulan dan ditambah dengan kehadiran semula tonggak utama, Fazilla Sylvester Sillin, sasaran itu mampu dicapai.

"Ia bukan satu tugas yang mudah buat kami. Mungkin selepas menamatkan Piala Tun Razak, kami akan meneruskan latihan bersama skuad kebangsaan.

"Bagi saya, kami akan terus mengikuti sesi yang ditetapkan dalam usaha untuk meningkatkan kualiti dan prestasi," tambahnya.